Subscribe:

Penjejak

Labels

Sunday, January 17, 2010

Tuan Guru Dr Haron Din.


Haron Bin Din atau dikenali dengan Tuan Guru Ustaz Haron Din berasal daripada Bohor Mali yang terletak di kangar, Perlis.

Beliau dilahirkan pada 18 Ogos 1940. Beliau adalah anak yang ke tiga daripada 10 adik beradik. Antara adik beradiknya yang terkenal sebagai tokoh agama ketika ini adalah abang beliau iaitu Ustaz Ishak Din dan adik beliau Ustaz Abu hassan Din.

Lebai Din, bapa kepada Ustaz Haron Din adalah perawat yang tersohor dokampungnya. Kaedah perubatan yang digunakan adalah menggunakan doa-doa daripada ayat-ayat suci Al Quran.

Pendidikan dan Kerjaya.

Pendidikan agama yang diterapkan oleh kedua ibu bapanya semasa kecil membuahkan hasil yang baik dalam diri Ustaz Haron Din dan adik beradiknya. Ibu bapanya terkenal sebagai guru Quran yang mengajar Quran kepada masyarakat setempat. Beliau dihantar oleh kedua ibu bapanya ke Madrasah Al Islahiah Al Wataniah Bohor Mali.Kecemerlangan Ustaz Haron Din dalam pendidik terserlah sejak dari kecil. Kemudian beliau dihantar belajar ke Madrasah Al Alawiyah Al Diniah dan Al Kuliah Al Islamiah,Kelang Selangor.

Kecemerlangan beliau dalam pendidikan melayakkan beliau terpilih memasuki Kolej Islam Malaya sekitar tahun 1962 hingga 1965. disitu beliau belajar bersungguh-sungguh hingga dianugerahkan Hadiah Biasiswa Persekutuan kerana memperoleh Sijil Tertinggi Kolej dengan cemerlang. Lanjutan daripada itu, beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ssarjana di Universiti al Azhar, Kaherah antara tahun1966 hingga 1968. Sekembalinya dari luar negara, beliau dilantik menjadi guru agama di Kementerian Pelajaran Malaysia.

Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah doktor falsafah di Mesir. Pada tahun 1974 beliau berjaya memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang Syariah dari Universiti Darul Ulum, Kaherah Mesir. Seterusnya beliau ditawarkan menjadi pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1975.

Kemudian pada tahun 1977 beliau dilantik menjadi Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia hingga tahun 1985. Pada tahun 1986 Ustaz Haron Din dianugerahkan gelaran Profesor kerana kecemerlangannya dalam bidang akademik.

Pengetahuannya dalam bidang Syariah menyebabkan Bank Negara Malaysia melantik beliau sebagai Ahli Majlis Penasihat. Public Bank Berhad juga melantik beliau sebagai timbalan pengerusi majlis penasihat syariahnya. Manakala muamalah financial consulting dan CIMB juga melantik beliau sebagai ahli majlis penasihat syariah. Beliau pernah menjadi ahli majlis fatwa negeri Perlis dan Selangor.

Pusat Perubatan Darussyifa'

Ustaz Haron Din adalah antara pengasas Darussyifa', sebuah pusat perubatan islam. Penglibatan Ustaz Haron Din dalam dunia perubatan islam adalah adalah rentetan daripada pengalaman hidupnya semasa kecil. Zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan mengikut bapanya mengubati orang yang sakit. Lama kelamaan minatnya pada dunia perubatan islam muncul dalam dirinya. Minat beliau yang mendalam itu menyebabkan beliau meminta bapanya menurunkan ilmu perubatan itu kepada beliau.

Pada masa itu bapa beliau hanya mengajar ilmu perubatan yang asas kepada  Ustaz Haron Din. Sebelum bapanya mengajar ilmu perubatan, bapanya menyuruhnya mendalami ilmu agama.

Beliau sendiri mengambil inisiatif mempelajari kaedah rawatan islam daripada alim ulama. Antaranya guru yang mengajar kaedah rawatan islam ini adalah doktor kamal yang mengunakan kaedah rawatan hypnotism semasa di mesir.Di Malaysia, guru yang mengajar beliau pula adalah tuan haji Mursidi dengan kaedah perawatan yang sama.

Semasa beliau melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah, beliau sempat menimba ilmu perubatan islam daripada Sheikh Muhammad Idirs al Marbawi. Selain daripada itu, guru-guru yang turut mengajar beliau adalah Sheikh Muhammad Bayumi, Bapak Mokhtar Lintang, Tahir Abdullah, Pak Andak Noh dan Hj Husin.

Ustaz Haron Din dapat mempelajari beberapa ilmu dalam bidang perubatan islam yang dipelajarinya daripada guru-guru itu. Antara ilmu yang dipelajarinya termasuk ilmu berkaitan dengan penyakit barah, demam panas, ketumbuhan, kayap dan penyakit kulit. Sementara itu beliau juga mempelajari ilmu berkaitan tumbuh-tumbuhan disamping menggunakan ayat-ayat Quran.

Tidak ketinggalan juga beliau turut mempelajari ilmu laduni iaitu ilmu yang diberikan Allah kepada orang-orang tertentu sahaja. Beliau memperlajari ilmu itu daripada hj Husin atau dikenali dengan nama Tuk Chin. Kebanyakkan ilmu yang dipelajari dan diamalkan oleh Ustaz Haron Din adalah ilmu yang hanya bertepatan dengan syariat islam.
diusia muda..


Timbalan Mursyidul Am Parti Islam Semalaysia (PAS)


Ustaz Haron Din adalah ahli jawatankuasa kerja Parti Islam Semalaysia (PAS) pusat antara tahun 1975 hingga 1983. Beliau juga dilantik sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas. Oleh kerana terikat dengan kerjaya sebagai pensyarah, beliau tidak terlibat secara langsung dalam pilihanraya hingga tahun1999. Beliau mula bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 2004 mewakili Pas. Beliau dicabar oleh Datuk Seri Diraja Syed Razlan daripada bn. Beliau kalah dalam pilihanraya itu. Empat tahun berikutnya beliau bertanding sekali lagi di Perlis namun tidak berjaya terpilih sebagai wakil rakyat.

Ketokohan dan kepakaran beliau dalam bidang ilmu akhirat dan juga ilmu dunia tidak dapat dinafikan lagi, semoga beliau terus istiqomah dalam membimbing dan memimpin umat manusia di Malaysia khasnya ke arah kebaikan walaupun ramai orang yang tidak selesa (kejahilan) dengan dakwah dan risalah Islam yang beliau dan sahabat-sahabat beliau dokongi bersama gerakan Islam di Malaysia ini.


sekian.

1 Komen:

Anonymous said...

info yg mnarik!

Post a Comment